Wednesday, December 31, 2008

GAZA Diserang !! Apa Tindakan Kita?

Assalamu’alaykum, sahabat-sahabat semua, Sedarkah kita, saudara-saudara kita di Gaza, Palestin, kini sedang terbunuh dan tercedera dalam pengeboman dan hentaman serangan paling dahsyat yang pernah Israel lancarkan ke atas orang Palestin?

Tentera Israel telah mula menyerang dengan bom-bom roket udara pada hari Sabtu, 27 Disember 2008, kononnya hendak menghapuskan pengoperasian Hamas yang menghantar roket-roketnya ke dalam Israel.

Rakyat Gaza sejumlah 1.5 juta dikejutkan awal pagi Sabtu dengan serangan itu, yang meragut nyawa anak-anak kecil serta para wanita dalam masa kurang dari setengah jam. Satu dunia telah mengecam serangan Israel itu.

Perhimpunan tunjuk perasaan telah diadakan dihadapan kedutaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Jordan, rakyat Lebanon berhimpun dan menyalakan tayar-tayar kenderaan, pelarian Palestin di Syria juga mengadakan bantahan. Mesir telah membuka sempadan di Rafah untuk menerima orang Palestin yang cedera. Presiden European Union (E.U) telah menyeru agar Israel segera menghentikan serangannya ke atas Gaza. PBB pula menggesa Israel untuk mengelakkan kecederaan terhadap orang awam. Pertemuan kecemasan (emergency meeting) telah diadakan oleh semua Menteri Luar Negara negara-negara Arab.


Walaubagaimanapun, dunia dikejutkan lagi oleh serangan udara kedua pada hari Ahad, menjadikan jumlah yang terbunuh melebihi 270. Hospital-hospital di Gaza dipenuhi dan tidak dapat menanggung bilangan yang tercedera. Israel telah mempertahankan tindakannya, mengatakan Hamas menghantar roket-roket yang menggugat rakyatnya.
Ia juga mengugut untuk menghantar serangan tentera darat dengan memanggil 6,500 tentera simpanan untuk bersedia. Khaled Meshaal, pemimpin Hamas yang dibuang negeri ke Syria, telah menyeru Intifadhah ketiga dilancarkan dan berjanji untuk menyerang balas tindakan kejam Israel. Serangan Israel ini merupakan yang terdahsyat selama 60 tahun konflik Israel-Palestin. Hamas telah membalas dengan lebih 90 roket buatan sendiri yang membunuh seorang lelaki dan mencederakan rakyat Israel yang lain.

Perhimpunan tunjuk perasaan diadakan buat kali kedua di kebanyakan negara Islam seperti Jordan, Libya, Iraq, Mesir, Lebanon dan lain-lain. Hari ketiga, Isnin, jelas menunjukkan pendirian Israel yang ‘tak makan saham’ dengan tentangan serta bantahan dari kebanyakan negara dunia. Israel dengan tidak malunya mempertahankan lagi tindakannya dengan menyatakan bahawa tujuan mereka menyerang adalah untuk menghentikan operasi roket yang dilancarkan Hamas ke dalam Israel. Mereka berniat untuk meneruskan serangan beberapa hari lagi bagi menghapuskan kekuatan Hamas secara total.
Bahkan, mereka mengatakan bersedia untuk berterusan selama beberapa minggu dan menyasarkan bangunan-bangunan Hamas serta rumah-rumah pemimpinnya. Sementara itu, sebuah kumpulan di Indonesia telah mengisytiharkan akan menghantar 1,000 orang tentera untuk berjuang di Gaza. Ia akan memilih Muslim yang sihat fizikal, kuat iman, serta bersedia untuk mati syahid. Di Lebanon pula, Hizbullah berkata akan menyediakan tenteranya untuk menghadapi kemungkinan serangan Israel ke atas Lebanon.
Ketua Hizbullah menyokong kuat keputusan untuk Intifadhah ketiga. Puluhan ribu penunjuk perasaan telah berkumpul di Beirut bagi menyuarakan solidariti dengan rakyat Palestin. Pope Benedict di Rome juga mengecam keganasan di Gaza dan Majlis Keselamatan PBB menyeru agar segala serangan dihentikan. Israel telah menghentam rakyat dan bangunan-bangunan di Gaza dengan serangan udara menyebabkan kerosakan dan kehancuran yang teruk pada infrastruktur awam. Antara kehancuran yang terkesan adalah di Universiti Islam Gaza yang mana Israel mendakwa merupakan kubu kuat Hamas.
Terowong yang dikatakan menghantar bekalan senjata serta bantuan ke dalam Gaza juga telah dihancurkan oleh roket Israel. Israel mendakwa mereka berjaya mengurangkan jumlah serangan Hamas daripada 130 pada hari Ahad kepada hanya 20 pada hari Isnin. Penduduk Gaza sudahpun digegarkan dengan trauma fizikal dan mental serta percampuran perasaan takut, marah, geram dan sedih. Anak-anak kecil serta golongan lemah yang tidak bersalah turut terkorban dan cedera, memenuhi hospital-hospital Gaza.
Semenanjung yang kecil tetapi padat dengan rakyat Palestin itu menyebabkan ramai orang awam tercedera oleh roket-roket Israel. Sebuah kapal yang menghantar bantuan kemanusiaan juga dihalang oleh tentera laut Israel. Sempadan Gaza dengan Mesir dihalang daripada dibuka oleh pihak berkuasa Mesir sehinggakan rakyat Gaza yang terdesak dan cemas tidak dapat melarikan diri daripada keadaan peperangan yang berlaku. Tindakan Mesir ini telah mendapat reaksi negatif daripada negara-negara Islam yang lain. Kereta-kereta kebal Israel telahpun disusun dan dibariskan di sempadan Gaza-Israel sebagai persediaan untuk melakukan operasi daratan.




Sesungguhnya, sahabat-sahabat sekelian, kita di sini dan mereka di sana. Memang benar. Namun ikatan ‘aqidah dan iman menghubungkan kita semua dalam sebuah pasukan, sebuah keluarga besar, satu ummah. Oleh itu, kita dianjurkan dengan desakan yang amat sangat agar sentiasa mendo’akan saudara-saudara kita di sana, agar diberi kekuatan, ketabahan dan keyakinan. Apabila derma kilat dijalankan, hendaklah kita menginfaqkan wang kita untuk membantu mereka. Dan yang paling penting, kuatkanlah hubungan kita dengan Allah dengan sentiasa mendekatiNya, dengan tadabbur ayat-ayatNya serta mengingati kematian adalah pasti.

Express your solidarity through any means possible!!

Allahu Akbar!!
Hubungi mana mana Pimpinan JIM Kemaman untuk maklumat lanjut mengenai Palestin.Jom Menyumbang!!